SEJARAH PASIR RAJA

JOM KENALI KG PASIR RAJA!!

ASAL USUL NAMA KG PASIR RAJA

Mengikut cerita orang zaman dahulu, kampung ini pada mulanya di buka oleh sekumpulan Suku Orang Asli. Mereka berusaha membersihkan kawasan kampung ini dengan menebang hutan yang kebanyakannya terdiri daripada pokok-pokok besar. Gambaran betapa banyaknya pokok-pokok serta tebalnya hutan kawasan itu, sehingga kapak yang digunakan oleh penduduk Orang Asli di situ banyak habis sumbing. Mereka mengumpul serpihan besi mata kapak itu sampai mencecah satu gantang banyaknya.

Beberapa tahun kemudian, datang seorang lelaki dari Pagar Ruyung, Indonesia ke kampung ini. Beliau ingin sekali mengambil alih kampung ini dengan bayarannya satu gantang mata kail bersamaan dengan satu gantang mata kapak yang sumbing itu. Semenjak perjanjian antara lelaki itu dengan penduduk Orang Asli menyebabkan Orang Asli tidak lagi berani memasuki kampung ini.

Ketika itu, Kampung ini masih belum bernama sehinggalah kedatangan seorang lelaki yang bernama Tengku Che Muda ke Daerah Dungun. Beliau datang melawat ke kampung ini pada tahun 1920an dengan menyusuri sungai. Dalam perjalanan itu, beliau telah berkhemah bersama hulubalangnya di tebing pasir sungai apabila beliau tiba dikampung ini. Beliau berkhemah di kampung ini selama sebulan untuk belajar ilmu agama dan juga ilmu pendekar dengan seorang ulama, yang dikenali dengan nama Sutan Kari.

Maka bermula dari peristiwa Tengku Che Muda dan hulubalangnya yang berkhemah di tebing pasir sungai kampung ini, ia mula dikenali dengan nama Kampung Pasir Raja sehinggalah ke hari ini.


SEJARAH KAMPUNG 
Kampung Pasir Raja adalah sebuah kampung di pedalaman, kira-kira 77.9 kilometer dari Bandar Dungun. Sebelum adanya kemudahan jalan raya pada tahun 1990, penduduk kampung terpaksa menggunakan kemudahan sungai yang menjadi penghubung dengan menaiki rakit atau perahu untuk ke Kuala Dungun melalui Sungai Dungun. Ini mengambil masa tiga hari dua malam dan bergantung kepada pasang surut air sungai itu. 

Sebelum sampai ke Kuala Dungun, mereka terpaksa naik ke darat dan berkhemah menunggu hari siang untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan sungai bukanlah suatu yang mudah, kadang-kadang mereka terpaksa menghadapi arus deras, sungai cetek dan lebih menggerunkan jika bertembung dengan buaya ganas. Tetapi tiada sejarah penduduk di Kampung Pasir Raja yang diserang buaya ketika menggunakan sungai ini. Perkhidmatan sungai kini, hanya tinggal kenangan dihati penduduk Kampung Pasir Raja bila jalan raya telah dibina bagi menghubungkan penduduk dengan dunia luar.

LOKASI KAMPUNG

Kampung Pasir Raja terletak kira-kira 137km dari bandar Kuala Terengganu, 77.9km dari bandar Dungun, 72.4km dari bandar paka dan 44.5km dari bandar al-Muktafi Billah Shah. Kampung Pasir Raja juga terletak kira-kira 393km dari Kuala Lumpur dengan mengambil perjalanan selama 5 jam 34 minit. Manakala jarak perjalanan dari Kuantan, Pahang pula ialah 145km selama 2 jam 13 min.

1 comment: